Jika timbul keraguan dalan hati untuk memilih atau mengambil keputusan dalam sesuatu hal, misalnya; apakah harus berangkat atau tidak, apakah harus menolak atau menerima, apakah harus berdagang atau menjadi buruh dan sebagainya.
Keraguan makin terasa,keputusan tidak dapat dipastikan kerana setelah melihat masing-masing ada kebaikan dan keburukannya.
Maka jika terjadi hal sebegini, hendaklah menyerahkannya kepada ALLAH S.W.T untuk memilih, dengan jalan terlebih dahulu solat sunat istikharah dua rakaat
Lafaz niatnya iaitu:
Sahaja aku solah sunnat istikharah dua rakaat kerana ALLAH TAALA.
Rakaat pertama dibaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Kafiruun, rakaat kedua dibaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas. Setelah salam, bacalah doa tersebut di bawah.
Dengan pengharapan kiranya ditunjukkan ALLAH S.W.T untuk mendapatkan pilihan yang baik. Jika keraguan masih mempengaruhi fikiran untuk menentukan pilihan, ulangilah solah istikharah dan membaca doanya, meskipun pengulangan sampai tujuh kali berturut-turut.
Kemudian dengan tawakkal kepada ALLAH S.W.T pilihlah salah satu daripadanya ambillah yang mana arah hati lebih cenderung setelah berdoa, jangalah menimbulkan lagi rasa keraguan, kerjakanlah dengan keyakinan bahawa ini adalah pilihan ALLAH S.W.T.
Janganlah merasa kecewa jika ternyata dalam pekerjaan yang telah dipilih menimbulkan hal-hal yang tidak diingini. Ingatlah bahawa ini adalah takdir yang telah digariskan pada azali yang tidak dapat dielakkan ia mengandungi hikmah, membawa kebaikan di masa akan datang, hendaklah tetap mempunyai husnuz-zan kepada ALLAH S.W.T.
Doa solat sunat istikharah:
Ya ALLAH, aku memohon petunjuk memilih yang baik dalam pengetahuanMu, aku memohon ditakdirkan yang baik dengan qudratMu, aku mengharapkan kurniaMu yang besar.
Engkau Maha Kuasa dan aku adalah hambaMu yang dhaif. Engkau Maha Tahu dan aku adalah hambaMu yang jahil. Engkau Maha Mengetahui semua yang ghaib dan yang tersembunyi.
Ya ALLAH, jika hal ini dalam pengetahuanMu adalah baik bagi kehidupanku sekarang dan masa akan datang, takdirkanlah dan mudahkanlah bagiku kemudian berilah aku berkat daripadanya.
Tetapi jika dalam ilmuMu hal ini akan membawa bencana bagiku dan bagi agamaku, baik sekarang ataupun pada masa akan datang, jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya. Semoga Engkau mentakdirkan aku pada yang baik. Sesungguhnya Engakau Maha Kuasa atas setiap sesuatu.
0 comments:
Post a Comment